INFO BAHASA




‘MARTABATKAN  BAHASA MELAYU’
GUNAKANLAH BAHASA MELAYU DENGAN BETUL,TEPAT DAN BERKESAN.


Papan tanda hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dalam semua aspek tatabahasa.
KESALAHAN dan kecelaruan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan masih lagi ditemui di tempat-tempat awam. Situasi ini menggambarkan sikap peniaga atau pengiklan yang tidak prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Sikap mereka yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan berkesan menyebabkan martabat bahasa Melayu seolah-olah diperlekehkan. Dalam hal ini, soal betul atau salah penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda mahupun papan iklan bukan menjadi pertimbangan utama peniaga dan pengiklan, sebaliknya mereka hanya mementingkan bahasa yang  digunakan pada  papan tanda yang mereka anggap dapat difahami oleh pengguna. Justeru, terdapat segelintir peniaga dan pengiklan yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau menjadikan “bahasa rojak” pada papan tanda premis mereka.



 

Pada paparan menu, ejaan makanan juga perlu dititikberatkan.

Memandangkan kesalahan dan kecelaruan bahasa pada papan tanda ini semakin berleluasa, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah berkerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Hasil kerjasama ini telah terjalin sejak tahun 2007 dan masih berterusan sehingga sekarang. Dalam konteks kerjasama ini, usaha yang dijalankan adalah agar setiap papan tanda perniagaan perlu mendapat pengesahan bahasa daripada DBPWS terlebih dahulu. Tanpa pengesahan bahasa daripada DBPWS, permohonan mahupun pembaharuan lesen bagi peniaga dan pengiklan tersebut tidak akan diluluskan oleh pihak MBJB.
Usaha MBJB ini mendapat perhatian Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan mulai tahun 2011, MPPG turut melaksanakan kaedah yang sama kepada pihak peniaga dan pengiklan yang ingin memohon atau memperbaharui lesen mereka agar mendapatkan pengesahan bahasa daripada DBPWS.
Sesungguhnya usaha MBJB dan MPPG ini merupakan usaha yang amat baik bagi meningkatkan martabat bahasa Melayu. Dalam hal ini, peniaga dan pengiklan akan sedar peri pentingnya penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat, khususnya dalam papan tanda dan papan iklan.




Papan tanda hendaklah menggunakan bahasa Melayu yang betul.
 Oleh Siti Hajar Elah

*********************************************************************************

PIPP dan Pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmiah
Tarikh : Thursday, February 15 @ 12:12:49 PST
Topik : Artikel


Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan juga asas perpaduan terus diberi penekanan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Ini diperlihatkan dalam fokus Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui teras kedua pelan ini iaitu membina Negara Bangsa. 

Kesungguhan untuk melaksanakan fokus ini dijelaskan sebagai cabaran KPM adalah untuk memastikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan. KPM berazam untuk memberikan penghormatan dan menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu untuk memperkasakan kedudukannya.
[1] Pelan ini juga turut mengenalpasti punca-punca kemerosotan Bahasa Melayu terutama dari segi tahap dan mutu penggunaannya walaupun kedudukan Bahasa Melayu sudah terjamin sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditubuhkan untuk tujuan-tujuan tersebut.[2] Antara faktor-faktor yang menjurus kepada kemerosotan itu ialah  kecenderungan dan kelaziman penggunaan bahasa rojak, bahasa dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan bahasa dalam sembang di internet, peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti yang ditafsirkan dalam Perlembagaan masih belum dilaksanakan sepenuhnya, tanggapan bahawa penggunaan Bahasa Kebangsaan menyebabkan seseorang itu dianggap tidak terdidik atau kurang berketerampilan, penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor swasta masih pada tahap minimum, jumlah penerbitan buku dalam Bahasa Kebangsaan yang secara relatifnya rendah, dan kadar penterjemahan karya daripada bahasa asing kepada Bahasa Kebangsaan yang secara relatifnya rendah dan lambat. Selain itu, masalah pencemaran dalam penggunaannya khususnya di tempat awam dan dalam media massa, peminggiran penggunaannya dalam urusan rasmi di sektor awam dan swasta serta kemerosotan penggunaannya sebagai bahasa ilmu, termasuk di institusi-institusi pendidikan tinggi juga merupakan faktor-faktor yang perlu diberi perhatian.
Berdasarkan perancangan dan usaha-usaha yang dipaparkan dalam PIPP ini, jelas usaha memartabatkan Bahasa Melayu tetap menjadi agenda utama. Hal ini kerana Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam pendidikan sewajarnya terus diperkasakan dan dimantapkan agar kedudukannya terus utuh dan peranannya sebagai alat perpaduan juga semakin berkesan. Rentetan ini dijelaskan oleh Dr. Awang Sariyan (2005) iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996. 
Hasil daripada pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan telah terbukti apabila di akhir tahun 1980-an, dasar bahasa dalam sistem pendidikan negara mencapai tahap perkembangan yang boleh kita sebut mantap atau ‘stabil.’ Kemantapan ini dapat kita lihat berdasarkan kejayaan dasar itu melahirkan generasi, dari semua kaum, yang terdidik dalam atau melalui BM. Puluhan ribu pelajar kita, baik pelajar Melayu mahupun pelajar bukan Melayu, mampu memperoleh pendidikan peringkat tinggi dalam semua bidang, termasuk bidang sains dan matematik, dalam BM, bukan sahaja di peringkat Ijazah Pertama, tetapi juga di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.[3]  Oleh yang demikian sewajarnyalah usaha pemerkasaan Bahasa Melayu diteruskan kerana sifat bahasa itu yang sentiasa berkembang selaras dengan perkembangan semasa. 
Namun berdasarkan realiti dalam bidang pendidikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah semakin tergugat sejak kebelakangan ini. Apatah lagi dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dalam Bahasa Inggeris dan Dasar Bahasa di IPTA dan IPTS yang mula berubah. Kedudukan dan usaha untuk menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu menjadi tumpuan melalui pelbagai program yang dirangka tetapi aspek untuk memperkasakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu tidak dinyatakan secara langsung. Sekiranya usaha-usaha ini dilakukan nescaya sekurang-kurangnya kelemahan-kelemahan dalam penggunaan bahasa dan sikap memandang rendah terhadap Bahasa Melayu dapat dibendung sejak peringkat sekolah lagi. Antara langkah awal yang boleh dilakukan ialah guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu ditambah ilmu dan kepakaran mereka dalam bidang linguistik. Di samping itu guru-guru mata pelajaran lain juga turut diberi pendedahan dan pemantapan tentang Bahasa Melayu. 
Pelaksanaan PPSMI di peringkat sekolah tidak dapat tidak telah menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan matematik terjejas dengan pelaksanaan dasar ini. Kesannya kelak semua mata pelajaran sains dan matematik dari peringkat pendidikan rendah hingga ke pendidikan tinggi akan diajarkan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Akibatnya, pelaksanaan dasar ini akan menjadikan peranan Bahasa Melayu selanjutnya dalam bidang ilmu Sains dan teknologi akan tersekat terus dan terbantut kecuali dalam bidang yang amat terhad, khususnya bagi pendidikan tinggi (era selepas SPM) sedangkan bahasa Melayu telahpun banyak meneroka bidang tersebut dengan lebih 800,000 istilah, 200,000 buah buku pelbagai judul, dan sebagainya. Segala usaha tersebut hanya perlu disempurnakan serta dibaiki dari semasa ke semasa.[4]  Dalam konteks ini juga kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah juga semakin mengecil khususnya dalam bidang sains dan teknologi. 
Selain itu, perubahan dasar bahasa di peringkat IPT juga telah menyebabkan berlakunya perbezaan yang ketara antara dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.  Hal ini diperakui oleh Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia (2006) yang menjelaskan jawatankuasa mendapati bahawa walaupun Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar di peringkat sekolah, keadaan di peringkat tinggi adalah berbeza. Selama lebih satu dekad telah wujud dua sistem yang berbeza dengan ketaranya di peringkat pendidikan tinggi: Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di IPTA dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di IPTS. Perkembangan ini berlaku selepas pelaksanaan Akta IPTS 1996, banyak IPTS telah diberi pengecualian daripada menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bahasa Inggeris telah dijadikan bahasa pengantar kerana institusi-institusi ini kebanyakannya menawarkan kursus-kursus IPT luar Negara. 
Namun begitu, dalam laporan yang sama jawatankuasa ini turut memperakukan supaya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa rasmi digunakan dalam semua urusan rasmi dan Bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa pengantar di IPT dalam semua mata pelajaran sains, matematik dan professional, manakala mata pelajaran lain hendaklah diajar dalam bahasa yang paling berkesan untuk menyampaikan ilmu yang terkandung di dalam mata pelajaran tersebut.[5]  Natijahnya, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semakin terpinggir dan sudah pasti untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah juga semakin sukar apabila semakin dipinggirkan di dalam institusi ilmu.  Kerisauan terhadap perkembangan ini turut dinyatakan oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad (2004) iaitu  dasar bahasa dalam sistem pendidikan negara berhubung dengan bahasa Inggeris jelas, iaitu bahasa ini hendaklah diajarkan sebagai bahasa kedua yang wajib di sekolah kebangsaan. Dasar ini tidak berkata bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua hendaklah dijadikan bahasa pengantar dalam apa jua mata pelajaran di sekolah. 
Perakuan dan saranan agar penggunaan Bahasa Inggeris diperluaskan dalam bidang pendidikan ini juga seakan-akan berlawanan dengan pelaksanaan Dasar Buku Negara yang terkandung dalam PIPP. Buku teks dan buku-buku rujukan memainkan peranan penting di dalam pengajaran dan pembelajaran dan sudah sepatutnya usaha menambah bilangan penerbitan bahan-bahan tersebut dalam bahasa kebangsaan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Namun jika dilihat dalam pelaksanaan dasar pendidikan kebelakangan ini dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta dasar penggunaan Bahasa Melayu di IPTA dan IPTS, keadaan sebaliknya yang berlaku; sedang satu pihak berusaha untuk menterjemah karya asing kepada Bahasa Melayu, satu pihak lagi beralih kepada buku-buku Bahasa Inggeris sebagai rujukan. Di sini menampakkan pembaharuan yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan tidak sejajar dengan situasi yang berlaku terhadap pelaksanaan dasar bahasa dalam sistem pendidikan di peringkat Kementerian Pelajaran sendiri dan juga Kementerian pengajian Tinggi.  Usaha untuk memperbanyakkan penerbitan buku-buku dalam Bahasa Melayu dan juga penterjemahan karya asing kepada Bahasa Melayu sepatutnya akan lebih terangsang dan bersemarak kerana adanya permintaan mendesak apabila bidang sains, matematik dan professional ini diajarkan dalam Bahasa Melayu. Keadaan inilah yang berlaku apabila Bahasa Melayu mula dijadikan Bahasa Pengantar sepenuhnya di IPTA pada awal 1980-an, dalam tahun 1980 hingga 1983, DBP telah mencetak sebanyak 47 buah senarai istilah yang boleh dikatakan dalam semua bidang kecuali bidang-bidang khusus[6]. Di samping itu usaha-usaha ini diperlengkap oleh masing-masing universiti mengikut keupayaan mereka untuk bidang-bidang yang lebih khusus dan tinggi sesuai dengan peringkat pengajian tinggi. 
            Keseluruhannya pelaksanaan yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pndidikan dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk yang lebih jelas kerana wujudnya kontra dengan pelaksanaan dasar bahasa yang berlaku di sekolah-sekolah dan juga di IPTA dan IPTS. Di peringkat pembelajaran, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran semakin mengecil jumlahnya apabila dilaksanakan pengajaran mata  pelajaran sains, matematik dan professional menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.  Usaha-usaha untuk menyemarakkan penggunaan dan mengukuhkan kecintaan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sememangnya disokong tetapi untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah mestilah disokong kuat oleh penggunaan dan pemakaian Bahasa Melayu sepenuhnya dalam menyampaikan ilmu. Barulah Bahasa Melayu akan terus berkembang pesat dan usaha memperkayakan khazanah bahasa dalam bidang ejaan, peristilahan, kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa akan terus bercambah. 
Pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sepenuhnya menuntut agar langkah-langkah yang lebih gigih dilakukan terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Di samping itu, usaha memperkembangkan Bahasa Melayu dan meningkatkan keupayaannya menjadi bahasa ilmiah bagi semua bidang ilmu perlu diselaraskan dengan perubahan dasar pendidikan dan pelaksanaannya di peringkat Kementerian Pelajaran dan juga Kementerian Pengajian Tinggi . Hakikatnya, usaha dan gelombang baru gerakan memperkasakan Bahasa  Melayu yang termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan merupakan usaha-usaha untuk memperbaiki kekurangan dan memantapkan pelaksanaan perancangan sebelum ini. Walaupun pengiktirafan untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu / ilmiah disentuh tetapi dalam masa yang sama wujud ketidakseimbangan dari segi pelaksanaan dasar bahasa dalam sistem pendidikan.





BAHASA & CABARAN
“Cabaran bahasa Melayu yang dihadapi kini seolah-olah ‘mengkampungkan’ kembali bahasa Melayu. Bahasa Melayu’dikampungkan’ dan tidak lagi dilihat sebagai bahasa yang mempunyai elemen pemodenan,kerana terlalu menganggap bahasa Inggeris sahaja yang moden. Semenjak Dasar Bahasa diperkenalkan,telah banyak golongan cerdik pandai dilahirkan. Sebenarnya, kita tidak menentang penggunaan bahasa Inggeris, tetapi lebih baik jika kita dapat menangkap ilmu dalam bahasa kita. Syair merupakan satu elemen untuk mengukuhkan bahasa Melayu. Tentang cabaran orang Melayu boleh diceritakan melalui syair demi menaikkan api semangat orang Melayu untuk mempertahankan bahasa dan kebudayaan Melayu. Api semangat inilah yang akan menggugat golongan yang akan merosakkan bangsa. Kekhuatirannya ialah orang yang menggugat ini umpama ‘anai-anai’.
(Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan)


“Pemikiran dan tindakan paling radikal dalam pembinaan tamadun Melayu baharu ialah revolusi untuk pendidikan pertama dalam sejarah bangsa Melayu. Allahyarham Tun Abdul Razak telah menubuhkan Sekolah Menengah Melayu yang berbahasa Melayu. Walaupun pada awalnya bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar  utama di Sekolah Menengah Melayu semenjak tahun1956,peralihan berlaku dan cita-cita kebangsaan Allahyarham Tun Abdul Razak yan teguh untuk menjulang kelangsungan peradaban Melayu dan membina identiti yang khusus  sebagai negara merdeka. Beliau meletakkan keutamaan yang tidak berbelah bagi terhadap bahasa Melayu, dan sistem pendidikan mencapai puncak pada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang bermahkotakan bahasa Melayu”
Datuk Zainal Abidin Kling – AJK Gabungan Penulis Nasional(GAPENA)

BAHASA JIWA BANGSA
Bahasa Melayu
Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah MalaysiaIndonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.[1]Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi diSingapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu secara rasminya dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand , FilipinaKembojaVietnamSri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarinbahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United KingdomAmerika SyarikatAustralia,BelandaChinaJermanNew Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.
Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya,Bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dialek dengan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu. Melayu Riau-Johor menggunakan dialek "e" sedangkan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu menggunakan dialek "o". Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walaubagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.
Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. DiTimor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai "bahasa berkerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.
Pada awal tahun 2004Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.


Strategi Pengajaran Bahasa Melayu – Part 2

6 Oktober 2009
Salam sejahtera..
Hari ini saya akan sambung lagi pecahan isu dalam topik Strategi Pengajaran Bahasa Melayu di bawah tajuk Kemahiran Menulis. Semoga paparan di bawah dapat membantu menberi anda sedikit input berguna.
Masalah Dalam Kemahiran Menulis
1. Cara yang digunakan untuk membantu kanak-kanak yang menulis dengan mencampur-adukkan huruf besar dan huruf kecil?
·         Latih tubi menyalin ayat atau tulisan.
·         Terapkan konsep tatabahasa dalam ayat.
·         Arahkan murid menyalin ayat dalam huruf kecil sahaja.
·         Kemudian terangkan kepada murid di mana fungsi huruf besar dalam ayat yang di salin.
·         Salin latihan ayat dalam buku garis tiga
·         Sediakan lembaran kerja tulisan.
·         Praktis tatabahasa-salin Kata Nama Am dan Kata Nama Khas
·         Galakkan murid menulis perkataan berdasarkan gambar.
·         Menggunakan keratan akhbar, minta pelajar menyalin ayat yang mengandungi Kata Nama Am dan Kata Nama Khas yang diperoleh daripada keratan akhbar.
·         Permainan bahasa.
·         Lain-lain cara tetapi tidak mengelirukan pelajar.
2. Jarak huruf tidak seragam
·         Menyalin perkataan dalam kotak.
·         Menyusun huruf yang digunting daripada keratan akhbar.
·         Menyambung titik huruf
3. Meninggalkan huruf semasa menyalin ayat
·         Elakkan perkataan berganda.
·         Jangan beri latihan yang terlalu panjang.
·         Kurangkan perkataan imbuhan.
·         Semak baris demi baris.
4. Jarak antara perkataan adalah tidak sesuai.
·         Letakkan satu jari atau pen diantara setiap perkataan sebagai penanda jarak.
·         Sambung titik.
·         Kertas surih – bentuk ayat (murid salin semula mengikut potongan kertas surih)
5. Menonjolkan pembalikan huruf
·         Guru buat latihan menulis huruf yang pelajar keliru secara berulang-ulang.
·         Mengecam huruf menggunkan kad-kad huruf
·         Menggunakan kad tebuk – sentuh dan rasa
·         Lembaran kerja pengamatan (mengatasi masalah pengamatan)
·         Latihan menulis (sambung titik)
·         Memilih dan mencari himpunan huruf.
·         Menulis huruf di pasir atau udara.
·         Latihan menyalin ayat pendek yang lengkap.
·         Menampal huruf yang telah disediakan oleh guru.
Sekian,

 

Sejarah Perkembangan dan Asal Usul Bahasa Melayu

1. Untuk mengetahui asal usul Bahasa Melayu kita perlu mengetahui asal usul penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. Asal usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno.

2. Teori mereka menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara.
3. Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi
4. Kira-kira tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan hutan dan pedalaman. Golongan Melayu-Deutro ini dikatakan nenek moyang masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.

5. Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun bahasa Austronesia, terdapat rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina.

6. Ahli bahasa telah membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
a. Bahasa Melayu Kuno,
b. Bahasa Melayu Klasik dan
c. Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno
1. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa Nusantara di bawah golongan bahasa Sumatera. Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya. pada waktu itu, BM kuno telah menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerana sifat bahasa Melayu yang bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu juga tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

2. Oleh sebab agama Hindu menjadi pegangan orang Melayu ketika itu, bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit yang menyumbang kepada pengayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Bahasa Sanskrit dianggap sebagai bahasa sarjana dan digunakan oleh bangsawan. Bahasa Melayu juga mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

3. Bukti penggunaan Bahasa Melayu kuno boleh dilihat pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Palawa iaitu:

a. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
b. Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
c. Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
d. Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)

4. Berpandukan isinya, penulisan di batu bersurat tersebut dibuat atas arahan raja Srivijaya, sebuah kerajaan yang mempunyai empayar meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri Lanka. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekaligus meluaskan penyebaran Bahasa Melayu ke tanah jajahan takluknya . Walaupun bahasa pada batu bersurat itu masih berbahasa Sanskrit, akan tetapi masih terdapat pengaruh Bahasa Melayu Kuno di dalamnya.

5. Istilah “Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun 644 dan 645 Masehi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “Mo-Lo-Yue” yang mengirimkan utusan ke Negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi keada Raja China. Letaknya kerajaan “Mo-Lo-Yue” ini tidak dapat dipastikan tetapi ada yang mencatatkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Jambi, Sumatera.

6. Selain bukti penggunaan bahasa Melayu kuno di atas,batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.

7. Bahasa Melayu kuno mempunyai beberapa ciri iaitu;

a. Terdapat unsur-unsur pinjaman daripada bahasa Sanskrit.
b. Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
c. Tidak wujud bunyi e pepet (Contoh dengan - dngan atau dangan)
d. Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
e. Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
f. Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
g. Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik

1. Pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13 turut memberi kesan kepada perkembangan bahasa Melayu. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah banyak mengubah sistem bahasa Melayu terutama dari aspek kosa kata, struktur ayat dan sistem tulisan.

2. Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a. Batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)- ditulis dalam huruf India dan
mengandungi prosa Melayu kuno dan beberapa baris sajak Sanskrit. Bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)- masih memakai abjad India dan buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)- ditulis dalam tulisan Jawi dan membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.

3. Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kuno kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik

1. Abad ke –13 merupakan waktu bermulanya zaman peralihan di Kepulauan Melayu dengan berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Ini telah mempengaruhi bangsa dan bahasa di sini, terutamanya bangsa dan bahasa Melayu. Pengaruh India sedikit demi sedikit mula digantikan dengan pengaruh Islam dan Arab. Kegemilangannya bahasa Melayu klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan Acheh dan zaman kerajaan Johor-Riau

2. Zaman penting bagi Bahasa Melayu ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat meningkatkan kemajuan dan perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam Bahasa Melayu yang sangat tinggi nilainya.

3. Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun1511 masehi tidak menamatkan pengaruh Bahasa Melayu. Ramai di antara mereka yang menjalankan penyelidikan dan menyimpan catatan mengenai bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beberapa contoh usaha mereka ialah :

a. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521. Kamus ini merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan merupakan daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal Bahasa Melayu menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu tersebar. 
b. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.

c. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut :
Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.”

4. Satu bukti tentang tingginya martabat Bahasa Melayu dan luas penggunaanya di wilayah ini adalah pada surat-menyurat antara pentadbir dan raja-rja di Kepulauan Melayu. Antaranya ialah :
a. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)
(Ketiga-tiga surat ini tersimpan di perpustakaan Bodelein, London)

5. Dalam abad ke-17, terdapat banyak usaha oleh sarjana-sarjana Eropah untuk menyusun kamus dan daftar kata, yang kemudiannya diteruskan kepada bidang morfologi, sintaksis dan fonologi.

6. Tokoh-tokoh tempatan juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan. Kebanyakan usaha mereka berkisar tentang agama dan sastera. Palembang dan Acheh telah menggantikan Melaka sebagai pust keintelektualan Melayu. Tokoh-tokoh di Acheh antaranya ialah :
a. Sheikh Nuruddin Al-Raniri (“Bustanul Salatin”)
b. Shamsuddin Al-Sumaterani (“Mirat Al-Mukmin”)
c. Abdul Rauf Singkel (“Mirat Al-Tullab”)
d. Hamzah Fansuri (“Syair Perahu”)

7. Di Palembang pula terdapat Abdul Samad Al-Falambani dengan kitab “Hikayat Al-Salakin”.

8. Selain daripada Acheh dan Palembang, beberapa tokoh juga timbul di tempat-tempat lain. Di Brunei, Pengiran Syahbandar Muhammad Salleh (Pengiran Indera Muda) telah menghasilkan “Syair Rakis”, manakala di Banjarmasin pula terkenal dengan Arshad Al-Banjari dengan kitab “Sabil Al-Muhtadin”. Sheikh Mohd Ismail Daud Al-Fatani di Pattani pula menghasilkan “Matla’al Badrain” dan “Furu’ Al-Masail”.

Ciri-ciri bahasa Melayu klasik:

1. Ayatnya panjang, berulang, berbelit-belit dan banyak menggunakan struktur ayat pasif.
2. Menggunakan bahasa istana: contoh tuanku, baginda, bersiram, mangkat dsb.
3. Kosa kata arkaik dan jarang digunakan ; ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih) 
4. Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
5. Banyak menggunakan ayat songsang: pendepanan predikat
6. Banyak menggunakan partikel ``pun' dan `lah'

Perkembangan Bahasa Melayu Moden

1. Bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden kerana sifatnya yang dikatakan agak menyimpang dengan bentuk bahasa Melayu klasik. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

2. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

3. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyebut bahawa, "Bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”. 
4. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara (bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan persekutuan, negeri, tempatan dan badan berkanun).
5. Laporan Razak 1956 mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dan menjadi alat utama perpaduan antara kaum.







HAWA YANG ISTIMEWA


Duhai kaum Hawa…
Sungguh mulia tempatmu
Terlalu istimewa sifatmu
Tak ternilai kudratmu
Meski masih bisa tertawa
Di kala saat-saat duka
Gahnya air mata itu
Di sebalik keindahan alis matamu
Itulah kelemahanmu
Namun percayalah
Titis kaca itu adalah tulang kekuatanmu jua
Yang bisa runtuhkan ego Adam
Yang bisa runtunkan jiwa Adam

Senyumlah wahai Hawa
Ukirlah seikhlas wajahmu
Sucikanlah ruang hatimu
Kerna ku jua tau
Tulus budimu
Semulus kasihmu
Yang bisa menggoncang dunia
Yang bisa membuka mata semesta

Terima kasih Tuhanku
Aku lahir ke dunia sementara ini
Dalam dunia Hawaku…

Duhai kaum Adam…
Hargailah kasih sayang Hawa
Yang tiada galang ganti
Yang dicurahkan bersama doa
Tanpa Hawa
Dunia ini akan hilang hiasnya
Akan pergi serinya
Tinggallah Adam di sini
Menghitung kesalan di benak hati
Membiarkan Hawa melangkah sepi…
Jangan biarkan Adam dan Hawa terpisah akhirnya…


No comments:

Post a Comment